Mengenai Mamacare

Satu aspek penjagaan kesihatan reproduktif wanita yang semakin diambil berat adalah perkhidmatan penjagaan selepas bersalin. Amalan moden dalam penjagaan postpartum memberi tumpuan kepada ibu yang mendapat rehat yang cukup, mengambil diet seimbang dan penjagaan kesihatan yang baik. Kaedah rawatan tradisional dalam masyarakat Malaysia seperti berurut (massage), bertungku (kompres panas), bengkung (memakai korset atau ikat pinggang), bertangas (mandi wap), dan penggunaan herba adalah pengetahuan dan kaedah tradisional yang terus dilakukan walaupun dengan adanya  kaedah moden. Justeru itu, bagi meningkatkan kebajikan wanita yang berpendapatan rendah dan usaha untuk memartabatkan tradisi turun temurun ini, satu Program Penjagaan Postnatal MamaCare telah dilaksanakan pada 2012 di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS), 1Malaysia Women's Initiative and Self Empowerment (1MWISE). Ia pada mulanya menyasarkan ibu tunggal, orang tua dan wanita dari isi rumah berpendapatan rendah.

Untuk memastikan kesinambungan program ini, program MamaCare telah memperluas sasarannya kepada wanita dari keluarga isi rumah B40. Pengamal MamaCare telah diperakui dengan Sijil Amalan Profesional Urutan Melayu MamaCare dari LPPKN. Hari ini, beberapa pengamal MamaCare dapat menjana pendapatan yang baik melalui perkhidmatan MamaCare. Sementara itu, beberapa pengamal MamaCare juga berjaya menghasilkan dan memasarkan produk mereka sendiri secara kecil-kecilan manakala sebahagiannya telah mengembangkan perkhidmatan mereka di luar negara ke Dubai, Arab Saudi, United Kingdom, Singapura, Vietnam, Thailand, Australia dan Brunei. Kejayaan program MamaCare juga telah dijadikan kajian kes projek inovasi sosial  telah dibentangkan di Challenges of Government Conference di Universiti Oxford dari 19 hingga 20 Mei 2016.

Kini, pengamal Profesional MamaCare kami bersedia memberi perkhidmatan kepada ibu dan si manja dengan hanya menempah dengan mudah di www.mamacare.my.